Sinopsis filem dan drama melayu dan berita relevan industri seni Malaysia.

Tentang Bulan (2006) Recap


Tentang bulan mengisahkan 5 sahabat, Ila, Mawi, Bulat, Budi dan Ketot yang tinggal di sebuah kampung di Malaysia. Zaman dulu cerita ni adalah salah satu cerita kegemaran aku, jadi aku akan mulakan blog ni dengan recap Tentang Bulan. 



Filem ini bermula dengan seorang perempuan yang baru turun daripada kapal terbang. Dia kelihatan seperti nak pergi ke suatu tempat. 



Seorang abang teksi nampak perempuan ni dan mendekatinya untuk jemput naik teksi. Dalam perjalanan dengan abang teksi, dia memberitahu bahawa dia bekerja di Kuala Lumpur, dan datang ke kampung tersebut untuk ke kenduri kahwin. 



Kedengaran di radio suara hos radio mengenai angkasawan pertama Malaysia, dan perempuan tersebut tersenyum dan mengeluarkan sekeping gambar dan terus kita dibawa mengimbas masa silam. 



Kelihatan empat orang budak lelaki sedang sibuk bergambar. Datang seorang budak perempuan tomboy yang cuba nak ikut bergambar sekali tetapi diejek kerana dia budak perempuan, jadi adalah tidak “cool” untuk bergambar sekali dengan mereka. 



Mereka merancang untuk mandi sungai pada hari itu. Mawi naik kerumah nya untuk minta izin untuk mandi sungai daripada mak nya. Mak Mawi nampak sangat cantik hari itu dengan segala perhiasan dan barang kemas yang dipakainya. Rupanya Mak Mawi hendak membawang dengan mak Ila, budak perempuan tomboy tadi. 



Ila sedang memukul si Bulat kerana mengejeknya. Mak Ila datang dan terkejut kerana Ila sedang membelasah Bulat. Mereka semua terus lari kerana takutkan mak Ila. Mak Ila iaitu Makcik Gayah naik kerumah Mak Mawi untuk membawang dan berlagak dengan barang kemas dan pangkat suami masing-masing. Kelakar sungguh cara mereka secara halus menunjuk barang kemas masing-masing, taknak kalah. Haha.



Kelihatan 5 orang budak itu sedang mandi sungai. Mereka mengusik Ila. Ila cakap, apa lelaki buat dia pun boleh buat. Maka mereka pun cuba bertanding untuk tahu siapakah yang dapat tahan nafas paling lama dalam air. Walaupun Ila budak perempuan, tetapi dia licik kerana untuk menang dia bermula lambat. Dia masuk kedalam air paling lambat dan pura pura dapat menahan nafas paling lama dalam air sehinggakan 4 orang budak lelaki itu takut dengan kekuatan Ila, dan juga risau jika Ila lemas. 



Sebelah malamnya, mereka pergi mengaji dengan ustaz yang garang. Ila dengan selamber nya duduk dekat bahagian budak lelaki dan dimarahi ustaz garang kerana tidak duduk dengan budak-budak perempuan yang lain. Budi pula rupanya mempunyai penyakit semput. 



Setelah selesai mengaji, mereka berlima nampak bulan mengambang dan terpesona dengan kecantikan bulan tersebut. Budi mengatakan bulan mengambang menandakan adanya hantu tetapi dinafikan oleh yang lain. Mereka kemudiannya mengajak Ila tengok bulan. 

Ketika melihat bulan, Mawi bercakap mengenai impiannya untuk ke bulan. 

“Aku nak tengok apa ada kat bulan tu,” kata Mawi.
“Kau rasa, kat bulan tu ada alien tak?” balas Ketot. 

Ila nampaknya beri lebih perhatian kepada Mawi. 



Ketika Ila sampai di rumahnya, dia dimarahi kerana balik lambat. Mak dan ayah Ila nampak seperti kurang gemar Ila berkawan dengan budak-budak lelaki tu. Terus Ila dipukul setelah melawan mak dan ayahnya. Aku sangat tersentak dengan adegan ini kerana bagi aku tak perlulah sampai dibelasah budak perempuan kecil itu sebegitu sekali kerana dia telah mencabar ego ayahnya. Ini bagi aku bukan nak mengajar, tapi nak melepaskan geram, nak tunjuk siapa yang berkuasa. 



Di rumah Mawi pula nampaknya lebih harmoni. Ayah Mawi menghadiahkan Mawi sebuah walkman yang dijanjikan setelah cemerlang dalam peperiksaan. Ayah Mawi nampaknya membawa pendekatan yang lebih berhikmah dalam mengajar anaknya. 

“Manusia berpegang pada janji, Mawi, tapi Mawi kena ingat, jangan leka pada muzik saja tau, belajar dengan rajin.”

Aku lebih gemarkan pendekatan seperti ini dalam mendidik, bukannya membelasah macam hilang akal, pernah tak terfikir kat mana budak tu belajar untuk berkasar? Sedangkan Ila budak yang baik, tetapi sering memberontak. 



Terus ke adegan 5 budak-budak itu melihat bulan daripada rumah masing-masing, termasuk Ila yang berlingan airmata setelah dibelasah. 



Esoknya, ketika menunggu yang lain, Budi dan Ketot dibuli oleh budak gangster kampung tetapi diselamatkan Ila. Seterusnya mereka berlima membelasah gangster kampung tersebut. Setelah gangster kampung itu beredar, Ketot terus berlagak berani. Haha. 



Hidung Ila berdarah, jadi mereka berlima menghantar Ila balik ke rumahnya. Tetapi Makcik Gayah tanpa mendengar penjelasan mereka terus membelasah Ila kerana bergaduh dan melawan cakap Makcik Gayah ketika cuba untuk mempertahankan diri. Sungguh, aku terganggu dengan cara keluarga Ila yang asyik membelasah Ila. 



Budak berempat itu pula merasa sedih dan bersalah terhadap Ila yang dipukul oleh Makcik Gayah. Mereka bercadang untuk meminta maaf dengan Ila selepas balik mengaji malam itu. 



Pada malamnya, Ila tidak datang mengaji jadi mereka berempat datang ke rumah Ila. Ila berkata bahawa dia okay, tetapi mereka berempat perlu belanja Ila makan di sekolah esoknya. Mereka berempat melihat bulan penuh lagi dan terus memandang bulan tersebut. Mereka berlima berjanji untuk takkan berpisah sampai bila-bila disaksikan bulan tersebut. 



Disekolah, seorang budak perempuan yang baru masuk bernama Zurina sampai. Budak lelaki berempat itu nampak seperti sangat terpesona dengan kecantikan dan kecomelan Zurina. Di kantin juga mereka berempat memerhatikan Zurina dan mula tidak memperdulikan Ila. 



Di waktu petangnya, lima sekawan itu bermain bola. Ketika Ila mengambil bola yang disepak jauh, 4 budak lelaki tersebut ternampak Zurina dan terus mengejarnya dan meninggalkan Ila di padang keseorangan. 





Budak berempat itu mengintip Zurina yang sedang bermain ting ting di rumahnya. Mereka semua bercadang untuk mendapatkan Zurina. Bulat pula diejek kerana masih belum bersunat, maka Bulat masih belum boleh berkahwin katanya. 



Ayah Zurina ternampak Zurina diintip budak-budak berempat itu dan menghalau mereka. Bulat pula terus ke rumah Tok Mudim untuk disunatkan. Hahaha pantas betul Bulat, daripada penakut bersunat terus jadi berani kerana Zurina. Penangan cinta gaiss.





Malangnya Tok Mudim enggan menyunatkan Bulat, malah disuruh tunggu sampai musim bersunat iaitu waktu cuti sekolah. 



Mawi pula pulang kerumah dan Ila singgah di rumahnya. Malangnya Ila dihalau Mawi ketika cuba untuk bermain dengan Walkman Mawi dan kerana takut dimarahi Makcik Gayah. 



Di kelas mengaji pula, Zurina mengaji dengan begitu merdu sekali, kata Mawi, kalah Uji Rashid. Empat sekawan itu semakin terpesona dengan Zurina, dan Ila pula cemburu dengan perhatian mereka terhadap Zurina. Jadi, Ila juga cuba untuk mengaji seperti Zurina, tetapi dia tergagap dan diketawakan kawan-kawannya. 





Seterusnya Bulat bermimpi menjadi Hang Tuah yang berlawan untuk menyelamatkan Zurina. Comel betul Bulat ni. 



Esoknya Bulat ke rumah Zurina untuk membuat pengakuan cinta. Tetapi ketika menunjukkan tanda cinta kepada Zurina, cuma ayah Zurina yang menyaksikannya. Pengakuan cinta Ketot pula adalah di dalam kelas, habis satu papan hitam dicontengnya dan kemudian dia didenda. Mawi pula tulis surat dan ditabur sebeban bedak wangi. Cuma Budi yang tidak membuat pengakuan, tetapi ketika Zurina duduk di sebelahnya ketika waktu rehat, dia diserang asma kerana terlalu terkejut.



Kemudian, Ila dan Budi nampak Zurina dan Mawi tengah tunggu mereka di tempat melihat bulan. Ila nampak tak berapa suka dengan kehadiran Zurina. Mawi memberitahu Zurina hasratnya untuk kebulan kerana bulan itu cantik seperti Zurina. Mawi nampaknya sangat smooth dalam menawan hati Zurina. Ila sekali lagi cemburu tetapi tidak langsung dilayan Mawi. Bulat dan Ketot lambat ke lokasi tersebut kerana Bulat rupanya sakit perut dalam perjalanan. 



Esoknya setelah habis sesi persekolahan, Ila ternampak Mawi memberi Zurina walkman nya untuk dipinjam. Ila menegurnya tetapi Mawi hendak keluar dengan Zurina dan terus menghalau Ila. Ila sedih dan cemburu. 







Kemudian, Ila juga kerumah Mawi tetapi Mawi tetap hilang kerana keluar dengan Zurina. Walaupun adegan Mawi keluar bercinta dengan Zurina adalah adegan sedih, latarbelakang kampung yang mereka tinggal amat indah permai. Sungguh cantik adegan ini disunting. 



Ila mencari Mawi serata kampung tetapi sungguh susah untuk dijumpai. Setelah beberapa ketika, budak berempat itu dilihat bermain ting ting dengan Zurina, Ila datang dengan baju perempuan dan bersolek. Budak berempat itu mengetawakan Ila, kata mereka Ila menakutkan dan memalukan. Tak silap aku, masa mula-mula tengok dulu nak menitik air mata aku tengok adegan ni, tak patut betul budak-budak ni. 



Ila terus menangis kerana dihina dan dihalau budak-budak itu. Di rumah, Ila dipujuk oleh Mak Cik Gayah. Rupanya Ila akan dihantar ke Kuala Lumpur untuk duduk dengan Maklongnya sebelum mendaftar di MRSM tahun depan. 





Ila mencuba pelbagai cara untuk memberitahu kawan-kawannya bahawa dia akan berpindah. Tetapi mereka terus mengejeknya dan tidak mempedulikannya. Ketika mengejar mereka dengan basikal, Ila terjatuh dan lagi sekali diketawakan. Kenapa kau nak kawan lagi dengan orang macam ni Ila? Aduhai. 



Zurina datang ke lokasi kejadian dan nak pastikan bahawa mereka akan hadir untuk membina buaian untuknya di rumahnya. Zurina cuba mengajak Ila untuk ikut sekali kepada Mawi. Malangnya, mereka membalas Ila tidak main permainan seperti budak perempuan lain. 




Di rumah Zurina mereka membina buaian untuknya. Terbit rasa bersalah di hati Mawi dan dia ingin kerumah Ila. 



Mawi ternampak Ila yang cedera jatuh basikal terus dibelasah Makcik Gayah. Aku sungguh marah tengok Ila yang sekejap sebentar dibelasah ibu bapanya ni sebenarnya. Ni tahap mendera dah ni. 



Mawi terus rasa bersalah dan teringat sewaktu mereka bermain rumah-rumah bersama Zurina dan menghalau Ila daripada turut bermain sekali walaupun telah diajak Zurina. 

“Pedulikanlah dia, jom main,” kata Mawi. 



Esoknya Mawi mencari Ila di sungai dan di rumahnya namun tidak ditemui. Selain itu, Bulat juga rupanya bercadang untuk berkahwin dengan Ila jika tidak berjaya mendapatkan Zurina. Haha mimpi jelah Bulat. 





Rupanya Ila ke pekan, walaubagaimanapun Makcik Gayah tidak sempat memberitahu Mawi bahawa Ila akan berpindah ke Kuala Lumpur. Sewaktu mak dan ayah Mawi berborak malam itu, Mawi terdengar mengenai Ila yang akan berpindah ke KL.





Mawi terus nak kerumah Ila tetapi dah larut malam. Esoknya pula Ila telah bertolak dan tidak sempat bertemu Mawi. Mawi mengejar Ila menggunakan basikalnya namun tidak berjaya. Aku sedih juga tengok adegan ni tapi lebih kepada rasa padan muka Mawi. Haha. 



Terus ke adegan masa hadapan. Ila telah sampai ke majlis kenduri kahwin tersebut. 





Kembali pula ke adegan di masa lalu. Rupanya Ila sempat berjumpa Zurina sebelum bertolak ke KL. Zurina menghadiahkan gambar Mawi, Budi, Bulat dan Ketot kepadanya. Gambar inilah yang Ila tengok di dalam teksi itu. 





Terus ke adegan masa hadapan. Zurina terus berkahwin dengan jejaka pilihan setelah keluar maktab. Bulat rupanya yang berjaya menawan hati Zurina. Bulat sekarang dah kurus dan menjual ubat kurus. Budi pula telah menjadi seorang doktor walau masih semput. Ketot pula dah jadi tinggi dan sekarang merupakan ahli politik. Mawi pula merupakan angkasawan pertama negara yang kita dengar di awal filem. 





Dulu aku sangat berharap ada sambungan filem ini kerana sangat berjaya menyentuh perasaan aku. Bagi aku, walaupun dah bertahun berlalu cerita ni masih lagi relevan, mengimbau zaman remaja aku. Tahniah Ahmad Idham dan David Teo untuk filem ini. :)


Share:

Popular Posts

Contact Us

Nama

E-mel *

Mesej *