Pujaan Hati Kanda - Episod 4
Kasyah dan Danny baru selesai melawat Fatimah di ICU. Kasyah mempersoalkan identiti Fatimah kerana wajahnya tidak dapat dikenalpasti akibat kemalangan. Fatimah kemalangan sebulan lepas, maksudnya dia kemalangan setelah melahirkan Iqy yang sekarang telah berumur 3 bulan. Mereka kasihan melihat keadaan Fatimah.
Danny berharap Fatimah cepat sembuh supaya dia boleh memulangkan Iqy. Danny risau kerana Tiara dan Rina cuma boleh menjaga Iqy buat sementara waktu sahaja, Danny tidak tahu siapa yang boleh menjaga Iqy selepas ini. Mereka mempunyai ijazah, jadi tidak sesuailah untuk menjadi pengasuh buat selamanya.
Danny keluar makan dengan Tiara dan Rina. Rina mengatakan bahawa menjaga Iqy sangatlah mudah kerana Iqy tidak banyak ragam. Oleh kerana mereka menjaga Iqy, maka Danny hendak belanja mereka makan apa sahaja malam itu tanda terima kasih. Sepanjang makan malam itu, Danny dan Tiara saling jeling-menjeling dengan satu sama lain.
Danny hantar mereka pulang. Rina yang sakit perut naik kerumah dahulu. Pali pula memerhatikan Tiara dan Danny yang bergelak ketawa. Pali datang mengejutkan mereka berdua dengan pertanyaan yang bertalu-talu contohnya kenapa Tiara keluar dengan Danny sedangkan seringkali menolak pelawaannya. Pali mengingatkan Tiara akan pesanan abang long Tiara yang menyuruhnya menjaga Tiara di Kuala Lumpur. Pali juga hairan dan marah mengapa ada bayi dengan mereka.
Tiara yang ketakutan lari naik kedalam rumah dan memberitahu Rina bahawa Pali ada di bawah. Rina membalas, jika dia ada di bawah sudah dimakinya si Pali itu. Tiara memberitahu Rina bahawa dia sudah tidak tahan dengan Pali. Rina menyuruh Tiara memberitahu ibunya mengenai hal ini. Tiara mengatakan bahawa ibunya okay sahaja cuma alongnya yang sangat rapat dengan Pali.
Malam itu Tiara mendapat satu mesej whatsapp daripada along bahawa dia masih di Sibu dan mahu berbincang dengan Tiara apabila pulang ke semenanjung. Tiara berasa risau akan aduan Pali mengenainya kepada along.
Dua bulan kemudian perniagaan online Tiara dan Rina sudah mendatangkan keuntungan. Mereka gembira dengan hasil jualan yang bagus daripada perniagaan mereka. Iqy terjaga ketika mereka bergelak ketawa. Tiara mengatakan mungkin ini adalah rezeki yang sampai atas berkat menjaga Iqy. Rina berasa menyesal kerja di restoran pengurus kekwat dahulu. Namun Tiara membalas bahawa jika tidak bekerja di restoran itu mana mungkin mereka akan berkenalan dengan Danny dan akhirnya bertemu Iqy, dia menambah semuanya adalah aturan Allah. Rina mengusik Tiara yang sebenarnya suka berjumpa dengan Danny.
Ibu Tiara di kampung menelefon Tiara dan bertanya mengenai baby Iqy dan majlis konvokasi Tiara. Ibunya bercadang untuk datang ke majlisnya. Tiara menyuruh ibunya berhenti kerja kilang kerana dia sudah boleh membantu ibunya tiap bulan dengan hasil perniagaan dan gaji mengasuh Iqy. Ibu memberitahu Tiara mengenai along yang mengadu pasal hal Tiara di Kuala Lumpur. Tiara memberitahu ibunya bahawa Pali seringkali mengganggunya. Ibu Tiara menasihatkan Tiara supaya menjaga diri apabila mendengar bahawa ayah baby Iqy sering datang ke rumah. Tiara membalas Danny tidak pernah masuk ke dalam rumah mereka. Ibu menasihatkan Tiara supaya mencari kerja tetap kerana Tiara mempunyai ijazah.
Danny menelefon dan bertanya khabar Tiara, dia cuba hendak membuat video call dengan Tiara. Namun Tiara segan. Danny mengajak Tiara keluar makan bersama Iqy kerana katanya rindukan Iqy dan mama Iqy iaitu Tiara. Rina pula tidak dapat ikut kerana hendak pulang ke Rawang. Danny gembira kerana tiada siapa yang boleh kacau line dia dan Tiara. Rina mengusik Tiara yang hendak keluar dating dengan Danny.
Danny membawa Tiara ke restoran makanan Arab. Tiara bertanya kenapa tidak mengajak Kasyah. Danny membalas dia penat asyik mengadap muka Kasyah siang malam jadi mahu ajak Tiara pula. TIara kata tidak baik berkata begitu nanti kecil hati Kasyah. Danny membalas "biarkan Kasyah sakit hati, baru kita tahu dia ada hati dan perasaan."
Danny memuji TIara dengan mengatakan bahawa Tiara cantik malam itu kepada Iqy.
“Tadi abang cakap apa pada Iqy?” Tanya Tiara.
“Abang cakap dekat Iqy, cuaca kat luar cantik, tadi masa nak datang kat sini, tenang je, acah-acah romantik gitu,” balas Danny.
“Ada-ada je lah abang ni.”
Tiara hendak memesan makanan dengan cepat kerana Iqy perlu tidur sebelum pukul 10 malam. Danny berkata kepada Iqy bahawa mama Tiara dengki, tidak bagi Danny jumpa Iqy lama-lama.
Tiara memberitahu Danny bahawa dia sudah hendak berkonvo. Ibunya menyuruhnya pulang ke kampung maka Danny perlu mencari pengasuh baru untuk Iqy.
Danny bertanya kepada Tiara siapakah Pali. Tiara menjawab, Pali tinggal satu kampung dengannya, along yang menyuruh Pali menjaga Tiara. Danny bertanya betulkah Pali menjaga Tiara? Tiara mengatakan bahawa Pali tidak menjaganya, bahkan dia asyik mengekori Tiara ke mana sahaja dan juga cemburu buta tetapi di depan keluarga Tiara, Pali berlagak alim dan baik.
Danny mengatakan bahawa baguslah jika ada orang yang ambil berat. Kemudian Danny bertanya mengenai status Tiara, sama ada masih solo.
Ibu Tiara yang sedang menggosok baju risaukan Tiara walaupun Tiara baik dan tidak pernah berbohong. Ibu takut Tiara tersalah langkah. Jari ibu terkena seterika kerana mengelamun.
Ibu yang luka dijari akibat terkena seterika sedang termenung. Seorang gadis mengejutkan ibu dan bertanya sama ada ibu rindukan adik. Aku rasa mungkin gadis ini adalah kakak Tiara.
Lampin dan susu Iqy hampir habis, maka Danny akan menghantar stok baru esoknya. Sedang berbincang, mereka dikejutkan oleh Pali yang datang tiba-tiba untuk buat hal. Pali tanya mengapa Danny asyik bersama Tiara dan memarahinya kerana keluar malam. Danny membalas dia hendak menghantar Tiara pulang setelah selesai makan malam.
Tiara memarahi Pali dan berkata, “kau takde hak nak aturkan hidup aku. Kau jaga diri kau, aku jaga diri aku.” Pali tidak bagi Tiara pulang dengan Danny dan mendedahkan bahawa Danny merupakan seorang playboy dan banyak hal buruk didengarinya sebelum ini mengenai Danny termasuklah mengenai anak luar nikahnya. Tiara juga dikatakan mempunyai hubungan sulit dengan Danny. Danny geram kerana dia difitnah. Tiara berang dan melempang Pali sebelum bergerak pulang bersama Danny.
Tiara meminta maaf dengan Danny kerana dimaki dan difitnah Pali. Danny membalas mungkin kerana Pali terlalu sayangkan Tiara, dan menasihatkan Tiara supaya tidak mengikut perasaan dan stress kerana takut Tiara jatuh sakit. Tiara gusar sekiranya Pali akan melaporkan perkara yang tidak betul kepada keluarganya. Danny meyakinkan Tiara bahawa dia akan perbetulkan segala salah faham dan berjumpa dengan keluarga Tiara. Tiara mengatakan bahawa mungkin Danny tidak akan faham dengan keluarganya yang bermasalah, terutamanya abang dan kakaknya.
Pali terserempak dengan Danny selepas membeli barang. Pali menyumpah seranah Danny dan memberi amaran supaya jangan mendekati Tiara menggunakan wang nya. Pali mengatakan dia pelik bagaimana Tiara mempunyai bayi sedangkan dia belum berkahwin. Danny yang bengang dan tidak mahu melayan Pali berkata dia mahu pulang berjumpa anak bininya seterusnya meninggalkan Pali.
Danny sampai di rumah Tiara dan Rina dan memberi semua barang bayi dan juga stok makanan kepada Tiara kerana Danny akan ke Sabah selama dua minggu. Tiara dan Rina pula akan berkonvo semasa Danny di Sabah. Seterusnya Tiara akan pulang ke kampungnya, maka Danny harus mencari pengasuh baru secepat mungkin.
Rina baru pulang dari pejabat pos dan ternampak Tiara yang mengelamun. Rina rupanya telah mendapat tawaran pekerjaan di Johor. Tiara gembira dan sedih pada masa yang sama. Tiara akan pulang ke kampungnya selepas berkonvo dan sudah tidak dapat bertemu Rina seperti selalu. Rina memujuk Tiara bahawa dia juga akan mendapat rezeki kerja selepas ini selain juga boleh meneruskan online business mereka.
Danny yang berada di Sabah menelefon Tiara untuk bertanya khabar. Danny mengatakan dia sudah menyuruh Kasyah mencarikan pengasuh baru untuk Iqy. Tiara memberitahu dia dan Rina akan berpindah hujung bulan ini. Danny menawarkan untuk menghantar Tiara pulang ke kampung kerana hendak bertemu keluarga Tiara, namun Tiara memberitahu bahawa Pali akan menghantarnya pulang atas arahan along. Tiara nampak berat hati untuk berpisah begitu juga dengan Danny.
Rina menegur Tiara yang mengelamun dan sedih hendak berpisah dengan Iqy. Tetapi Rina mengatakan bahawa jika Tiara hendak bertemu Iqy, dia hanya perlu menelefon Danny. Tiara menganggap selepas ini dia bukan lagi pengasuh Iqy jadi takkanlah hendak menghubungi Danny yang sibuk itu lagi. Rina mengusik Tiara bahawa Danny sanggup meredah lautan api pun demi Tiara.
Danny berada dalam kereta untuk ke rumah Tiara dan berfikir bagaimana untuk memberitahu perasaannya terhadap Tiara. “Adakah sudah terlambat untuk meluah perasaan?” Detik hati Danny. Danny memikirkan bagaimanalah hidupnya tanpa Tiara.
Ketika hendak naik kerumah Tiara, Pali juga sampai di waktu yang sama. Pali seperti biasa mencari pasal dengan Danny. Danny memberi amaran supaya Pali tidak masuk campur urusannya. Rina ternampak perkara ini dan terus naik memberitahu Tiara kerana risau mereka akan bertumbuk.
Mereka terdengar bunyi ketukan. Danny sudah sampai di atas. Pali sampai beberapa minit kemudian. Pali mencari gaduh juga di situ dan seperti kata Rina, memalukan dirinya dengan jiran-jiran. Danny mengambil Iqy untuk diserahkan kepada pengasuh baru. “Nanti kita jumpa lagi ya,” kata Tiara sedih kepada Iqy. Danny membalas dengan kering dan mengatakan dia tidak dapat berjanji untuk itu kerana Iqy sudah ada pengasuh baru.
Tamat sudah episod 4. Episod ni agak perlahan untuk aku.

