Sinopsis filem dan drama melayu dan berita relevan industri seni Malaysia.

Pujaan Hati Kanda Episod 1

Drama : Pujaan Hati Kanda Slot : Akasia TV3 Masa : Isnin-Jumaat | 7.00 Malam Pelakon : Remy Ishak, Mira Filzah, Sarah Hildebrand, Syazwan Zulkifly




Kita bermula dengan mengikuti seorang lelaki berkot kelabu (Kasyah) yang sedang berjalan masuk kedalam sebuah bangunan hotel yang megah. Manakala seorang lagi lelaki berkot hitam, Megat Danish (Danny) sedang sibuk meneliti dokumen-dokumen dibantu pekerja-pekerja yang lain. 


Kasyah masuk dan terus mengacau staf perempuan di pejabat hotel itu dengan pickupline yang menggelikan. 

“Kenapa harini cuci muka pakai gula, sebab nampak manis,” kata Kasyah.


“Saya nak jam,” Kasyah.
“Jam?” balas staf perempuan. 
“Jambatan ke hati awak,” akhiri Kasyah sambil sengih puas hati. 

Walaupun gatal, Kasyah nampak seperti seorang yang sangat ceria. 


Kita dibawa ke sebuah rumah banglo yang sangat besar dan megah, nampaknya seorang Datin sedang sibuk bersosial ala-ala Datin dan Puan Sri. Datin ini merupakan nenek kepada Danny. 


Seterusnya kita dibawa melihat rutin harian Danny yang sibuk dalam mesyuarat mengenai projek-projek besar di hotel tempatnya bekerja. 




Selepas itu, kita diperkenalkan dengan Tiara dan kawannya yang sedang sibuk mencari rakan serumah yang baru kerana rakan serumah yang lama telah lari tanpa membayar bil-bil rumah. Mereka menampal iklan di kedai-kedai runcit dan juga di internet. Jika diperhatikan, Tiara tidak nampak kaya seperti watak-watak lain yang diperkenalkan dalam drama ini. 




Rupanya Danny bakal berkahwin tak lama lagi, tetapi masih sangat sibuk berkerja di pejabat atas arahan datuknya, pemilik hotel tersebut. Tunang Danny, Nadine mempunyai butik terkenal. Nadine nampak seperti suka mengarah dan menempel dengan Danny. Nadine mengingatkan Danny bahawa petang itu mereka perlu pergi fitting baju pengantin. Nadine sempat mengugut Danny untuk meninggalkannya jika Danny tidak datang untuk fitting baju petang itu. 

Nadine juga amat kekwat dengan pekerjanya, dia mengarah dan memaki pekerja butiknya dengan sesuka hati. Dalam urusan majlis perkahwinan mereka pula, Danny mengikut sahaja arahan dan kerenah NadineManakala Kasyah pula sibuk bergosip dan membawang di pejabat, bukannya bekerja. 


Kawan-kawan Datin datang ke rumah banglonya untuk melihat persiapan dan barang-barang perkahwinan cucu kesayangannya. Nampaknya majlis yang dirancang adalah majlis yang sangat besar dan gah. Kawan datin tersalah sebut mengenai cucunya yang seorang lagi iaitu Daniel yang telah berkahwin secara senyap-senyap dengan pilihan hati. Daniel merupakan kambing hitam dalam keluarga Datin dan dipandang serong oleh keluarganya kerana tidak bernikah dengan pilihan keluarga. 




Datin menelefon Danny yang sedang kesibukan di pejabat untuk bertanya khabar dan untuk mengingatkannya supanya mengambil kad jemputan perkahwinan yang ditempah daripada kedai. 




Datuk kepada Danny yang merupakan pemilik hotel itu pula sedang bekerja di pejabat. Datuk menelefon Danny supaya menghantar satu laporan sebelum hari lusa. Nampaknya Danny memang amat sibuk, perlu mengikut arahan dan memenuhi kehendak seisi keluarga dan juga tunangnya. 






Tiara pula sedang bekerja di sebuah restoran bersama kawannya sebagai pelayan. Mereka masih belum mendapatkan penyewa yang sesuai untuk rumah mereka. Akibat berbincang sewaktu bekerja, mereka dimarahi oleh pengurus restoran, iaitu Kak Sal. 


Kasyah mengajak Danny pergi makan tengahari tetapi Danny amat sibuk sampaikan hampir terlupa untuk mengambil kad jemputan, seterusnya ke butik untuk fitting baju yang ditaja oleh kenalan Nadine yang berpengaruh.  


Danny berkejar untuk mengambil kad jemputan perkahwinan. Malangnya, sewaktu bercakap di telefon dengan Nadine yang sibuk menelefon risaukan Danny lambat, Danny terlanggar kereta seorang lelaki berlagak samseng. Dia meminta RM5000 daripada Danny. Danny yang sedang gawat kerana mempunyai banyak perkara yang perlu diselesaikan memberikan kad jemputan kahwinnya kepada samseng itu untuk dihubungi kerana dia hanya ada RM1500 ketika itu. 


Selain tidak membawa kad bisnes untuk diberikan kepada samseng tersebut, telefon Danny juga telah terpadam kerana tiada bateri,  jadi Nadine merungut dan bengang dengan Danny yang lambat tetapi langsung tidak menghubunginya. 




Setelah bergesa dan sampai di butik untuk fitting baju, Danny terus meminta maaf dan memberitahu dia mengalami kemalangan. Tetapi Nadine tidak percaya kerana Danny tidak cedera. Jadi Danny terus meminta maaf kepada Nadine untuk tidak memanjangkan perkara dan menerima bebelan dan arahan Nadine yang kuat mengarah.

“Oh dengan I je penatlah, dengan I je you takde masa lah, habistu you ni tak boleh ke happy, kita ni nak try baju kahwin kot, you tak appreciate ke, I dah tunggu you lama gila kat kedai ni,” bebel Nadine.


Di banglo pula, Datin dihubungi seorang Puan Sri dan menerangkan bahawa Danny dan Nadine akan bernikah di masjid, seterusnya majlis resepsi akan diadakan di hotel mereka. Nampaknya majlis perkahwinan mereka adalah sangat besar.


Sewaktu fitting baju kahwin, Danny mengikut sahaja, dan terus bersetuju dengan semua yang diajukan kepadanya dan mengatakan bahawa semuanya okay. 


Datuk Danny pula telah sampai di banglo daripada pejabat dan terdengar Datin yang sibuk hendak menghubungi Danny tetapi tidak dapat. Kata Datin, Danny merupakan seorang yang pelupa. Siapa aje yang tak pelupa Datin kalau dah kena gasak macam Danny tu? Hehe. 

Datuk bersungut kerana Datin yang cuba mengawal Danny. Datin pula membalas, Datuk juga mengawal Danny di hotelnya. Datuk membalas bahawa dia melakukan semua itu kerana Danny adalah cucu harapan keluarga. 


Walaupun Nadine masih marah, Danny dan Nadine menuju ke restoran yang Tiara bekerja untuk makan. Walaubagaimanapun Nadine tidak mahu makan kerana dia sedang berdiet untuk majlisnya. Setelah Danny memesan makanan yang dimahukan, Nadine komen bahawa menu yang dipilih Danny adalah menu kampung. 




Kawan Tiara pula sibuk memerhatikan Danny dan Nadine, dan berkata bahawa Danny sangat kacak. Malangnya, aksi mereka dilihat oleh pengurus restoran lagi sekali, kali ini mereka dimaki dengan kuat sekali kerana kuat berborak dan mengumpat. 



Danny dan Nadine ternampak dan memerhatikan Tiara dan rakannya dimarahi pengurus restoran. Namun setelah puas memerhati, Nadine kembali merasa teruja dengan majlis mereka yang besar nanti. Danny pula terus memerhatikan Tiara dan rakannya yang dimarahi. 



Danny dan Kasyah menunggu samseng itu untuk memberi lebihan RM5000 yang diminta. Kasyah rupanya suka memerhatikan perempuan cantik, katanya sama seperti Danny yang dahulu. Danny membalas bahawa dia sudah hendak berkahwin jadi tidak perlu diajak tengok perempuan lagi. 


Setelah lelaki samseng itu sampai, Danny menyerahkan duit kepadanya. Kasyah marah kerana Danny memberikan RM5000 kepada lelaki itu tetapi Danny tidak mahu pening, jadi terus menyerahkan duit itu kepada lelaki tersebut dan tidak mahu panjangkan hal. 


Setelah Danny dan Kasyah beredar, lelaki samseng itu didekati seorang lelaki bertopeng hitam yang nampak lebih samseng lagi. Lelaki bertopeng hitam mengambil semua duit di tangan lelaki samseng. Rupanya duit itu adalah duit hutang yang perlu dibayar kepada lelaki bertopeng hitam. Setelah hutang dibayar, lelaki samseng nampak sangat runsing kerana masih kesempitan duit. 


Sebelah malamnya, Datuk memberitahu Datin bahawa dia telah makan malam dengan client dan cucu harapannya, pewaris Arjuna Hotel, Danny. Walau bagaimanapun, Datin tidak mahu Danny dibebankan dengan kerja yang sangat banyak walaupun majlis perkahwinan sudah dekat. Datuk dan Datin bertegang mengenai Danny. Datin mengatakan Danny tinggal berasingan dengan mereka akibat Datuk yang terlalu bertegas. Nampaknya, setelah abang Danny, Daniel meninggalkan keluarga mereka, cuma Danny lah harapan mereka. 

Rupanya perkahwinan Nadine dan Danny adalah perkahwinan yang dirancang keluarga. Datin berkata, Nadine tak sesuai dengan Danny, tetapi Datuk membalas bahawa Nadine merupakan seorang wanita yang sunnguh sempurna dan juga sesuai untuk mengawal Danny daripada menjadi playboy seperti dulu. Rupanya Danny merupakan seorang playboy dahulunya. Datin dan Datuk juga tidak mahu kehilangan Danny seperti mereka kehilangan Daniel dahulu. 


Mama Nadine sungguh bahagia dan teruja melihat Nadine yang sangat cantik dalam baju pengantinnya dan mahukan kebahagiaan untuk Nadine. Mama Nadine dan Nadine mempunyai hubungan ibu dan anak yang harmoni. 


Danny yang sedang bersiap pula ditegur oleh Kasyah yang tidak menyangka Danny akhirnya bakal berkahwin. Danny pula berkata dia telah bertaubat daripada menjadi playboy dan tidak mahu terlibat dengan semua yang tak elok.

“Deep down, aku sedih nak biarkan kau membujang sorang-sorang,” kata Kasyah.

Danny berasa berdebar untuk bernikah. 

“Buat benda baik berdebar, buat benda tak elok hang steady,” kata Kasyah. 





Mereka menuju ke ruang untuk bernikah di masjid. Nadine dan pihak perempuan kelihatan begitu gembira menunggu kedatangan Danny dan keluarga di dalam masjid untuk diijab kabul. 


Sementara itu, nampak seorang lelaki dengan satu raga yang mengandui seorang bayi. Didalam raga itu juga terdapat gambar Danny dengan tulisan di belakangnya yang tidak dapat kita lihat. 


Bayi itu menangis saat Danny dan Nadine hampir berjaya dinikahkan setelah Danny gagal 2 kali membaca nikah. Lelaki yang ternampak bayi itu dipintu masjid pula membawa bayi itu masuk kedalam.



Tamatlah episod pertama drama ini. Nanti aku sambung lagi. 






Share:

Tentang Bulan (2006) Recap


Tentang bulan mengisahkan 5 sahabat, Ila, Mawi, Bulat, Budi dan Ketot yang tinggal di sebuah kampung di Malaysia. Zaman dulu cerita ni adalah salah satu cerita kegemaran aku, jadi aku akan mulakan blog ni dengan recap Tentang Bulan. 



Filem ini bermula dengan seorang perempuan yang baru turun daripada kapal terbang. Dia kelihatan seperti nak pergi ke suatu tempat. 



Seorang abang teksi nampak perempuan ni dan mendekatinya untuk jemput naik teksi. Dalam perjalanan dengan abang teksi, dia memberitahu bahawa dia bekerja di Kuala Lumpur, dan datang ke kampung tersebut untuk ke kenduri kahwin. 



Kedengaran di radio suara hos radio mengenai angkasawan pertama Malaysia, dan perempuan tersebut tersenyum dan mengeluarkan sekeping gambar dan terus kita dibawa mengimbas masa silam. 



Kelihatan empat orang budak lelaki sedang sibuk bergambar. Datang seorang budak perempuan tomboy yang cuba nak ikut bergambar sekali tetapi diejek kerana dia budak perempuan, jadi adalah tidak “cool” untuk bergambar sekali dengan mereka. 



Mereka merancang untuk mandi sungai pada hari itu. Mawi naik kerumah nya untuk minta izin untuk mandi sungai daripada mak nya. Mak Mawi nampak sangat cantik hari itu dengan segala perhiasan dan barang kemas yang dipakainya. Rupanya Mak Mawi hendak membawang dengan mak Ila, budak perempuan tomboy tadi. 



Ila sedang memukul si Bulat kerana mengejeknya. Mak Ila datang dan terkejut kerana Ila sedang membelasah Bulat. Mereka semua terus lari kerana takutkan mak Ila. Mak Ila iaitu Makcik Gayah naik kerumah Mak Mawi untuk membawang dan berlagak dengan barang kemas dan pangkat suami masing-masing. Kelakar sungguh cara mereka secara halus menunjuk barang kemas masing-masing, taknak kalah. Haha.



Kelihatan 5 orang budak itu sedang mandi sungai. Mereka mengusik Ila. Ila cakap, apa lelaki buat dia pun boleh buat. Maka mereka pun cuba bertanding untuk tahu siapakah yang dapat tahan nafas paling lama dalam air. Walaupun Ila budak perempuan, tetapi dia licik kerana untuk menang dia bermula lambat. Dia masuk kedalam air paling lambat dan pura pura dapat menahan nafas paling lama dalam air sehinggakan 4 orang budak lelaki itu takut dengan kekuatan Ila, dan juga risau jika Ila lemas. 



Sebelah malamnya, mereka pergi mengaji dengan ustaz yang garang. Ila dengan selamber nya duduk dekat bahagian budak lelaki dan dimarahi ustaz garang kerana tidak duduk dengan budak-budak perempuan yang lain. Budi pula rupanya mempunyai penyakit semput. 



Setelah selesai mengaji, mereka berlima nampak bulan mengambang dan terpesona dengan kecantikan bulan tersebut. Budi mengatakan bulan mengambang menandakan adanya hantu tetapi dinafikan oleh yang lain. Mereka kemudiannya mengajak Ila tengok bulan. 

Ketika melihat bulan, Mawi bercakap mengenai impiannya untuk ke bulan. 

“Aku nak tengok apa ada kat bulan tu,” kata Mawi.
“Kau rasa, kat bulan tu ada alien tak?” balas Ketot. 

Ila nampaknya beri lebih perhatian kepada Mawi. 



Ketika Ila sampai di rumahnya, dia dimarahi kerana balik lambat. Mak dan ayah Ila nampak seperti kurang gemar Ila berkawan dengan budak-budak lelaki tu. Terus Ila dipukul setelah melawan mak dan ayahnya. Aku sangat tersentak dengan adegan ini kerana bagi aku tak perlulah sampai dibelasah budak perempuan kecil itu sebegitu sekali kerana dia telah mencabar ego ayahnya. Ini bagi aku bukan nak mengajar, tapi nak melepaskan geram, nak tunjuk siapa yang berkuasa. 



Di rumah Mawi pula nampaknya lebih harmoni. Ayah Mawi menghadiahkan Mawi sebuah walkman yang dijanjikan setelah cemerlang dalam peperiksaan. Ayah Mawi nampaknya membawa pendekatan yang lebih berhikmah dalam mengajar anaknya. 

“Manusia berpegang pada janji, Mawi, tapi Mawi kena ingat, jangan leka pada muzik saja tau, belajar dengan rajin.”

Aku lebih gemarkan pendekatan seperti ini dalam mendidik, bukannya membelasah macam hilang akal, pernah tak terfikir kat mana budak tu belajar untuk berkasar? Sedangkan Ila budak yang baik, tetapi sering memberontak. 



Terus ke adegan 5 budak-budak itu melihat bulan daripada rumah masing-masing, termasuk Ila yang berlingan airmata setelah dibelasah. 



Esoknya, ketika menunggu yang lain, Budi dan Ketot dibuli oleh budak gangster kampung tetapi diselamatkan Ila. Seterusnya mereka berlima membelasah gangster kampung tersebut. Setelah gangster kampung itu beredar, Ketot terus berlagak berani. Haha. 



Hidung Ila berdarah, jadi mereka berlima menghantar Ila balik ke rumahnya. Tetapi Makcik Gayah tanpa mendengar penjelasan mereka terus membelasah Ila kerana bergaduh dan melawan cakap Makcik Gayah ketika cuba untuk mempertahankan diri. Sungguh, aku terganggu dengan cara keluarga Ila yang asyik membelasah Ila. 



Budak berempat itu pula merasa sedih dan bersalah terhadap Ila yang dipukul oleh Makcik Gayah. Mereka bercadang untuk meminta maaf dengan Ila selepas balik mengaji malam itu. 



Pada malamnya, Ila tidak datang mengaji jadi mereka berempat datang ke rumah Ila. Ila berkata bahawa dia okay, tetapi mereka berempat perlu belanja Ila makan di sekolah esoknya. Mereka berempat melihat bulan penuh lagi dan terus memandang bulan tersebut. Mereka berlima berjanji untuk takkan berpisah sampai bila-bila disaksikan bulan tersebut. 



Disekolah, seorang budak perempuan yang baru masuk bernama Zurina sampai. Budak lelaki berempat itu nampak seperti sangat terpesona dengan kecantikan dan kecomelan Zurina. Di kantin juga mereka berempat memerhatikan Zurina dan mula tidak memperdulikan Ila. 



Di waktu petangnya, lima sekawan itu bermain bola. Ketika Ila mengambil bola yang disepak jauh, 4 budak lelaki tersebut ternampak Zurina dan terus mengejarnya dan meninggalkan Ila di padang keseorangan. 





Budak berempat itu mengintip Zurina yang sedang bermain ting ting di rumahnya. Mereka semua bercadang untuk mendapatkan Zurina. Bulat pula diejek kerana masih belum bersunat, maka Bulat masih belum boleh berkahwin katanya. 



Ayah Zurina ternampak Zurina diintip budak-budak berempat itu dan menghalau mereka. Bulat pula terus ke rumah Tok Mudim untuk disunatkan. Hahaha pantas betul Bulat, daripada penakut bersunat terus jadi berani kerana Zurina. Penangan cinta gaiss.





Malangnya Tok Mudim enggan menyunatkan Bulat, malah disuruh tunggu sampai musim bersunat iaitu waktu cuti sekolah. 



Mawi pula pulang kerumah dan Ila singgah di rumahnya. Malangnya Ila dihalau Mawi ketika cuba untuk bermain dengan Walkman Mawi dan kerana takut dimarahi Makcik Gayah. 



Di kelas mengaji pula, Zurina mengaji dengan begitu merdu sekali, kata Mawi, kalah Uji Rashid. Empat sekawan itu semakin terpesona dengan Zurina, dan Ila pula cemburu dengan perhatian mereka terhadap Zurina. Jadi, Ila juga cuba untuk mengaji seperti Zurina, tetapi dia tergagap dan diketawakan kawan-kawannya. 





Seterusnya Bulat bermimpi menjadi Hang Tuah yang berlawan untuk menyelamatkan Zurina. Comel betul Bulat ni. 



Esoknya Bulat ke rumah Zurina untuk membuat pengakuan cinta. Tetapi ketika menunjukkan tanda cinta kepada Zurina, cuma ayah Zurina yang menyaksikannya. Pengakuan cinta Ketot pula adalah di dalam kelas, habis satu papan hitam dicontengnya dan kemudian dia didenda. Mawi pula tulis surat dan ditabur sebeban bedak wangi. Cuma Budi yang tidak membuat pengakuan, tetapi ketika Zurina duduk di sebelahnya ketika waktu rehat, dia diserang asma kerana terlalu terkejut.



Kemudian, Ila dan Budi nampak Zurina dan Mawi tengah tunggu mereka di tempat melihat bulan. Ila nampak tak berapa suka dengan kehadiran Zurina. Mawi memberitahu Zurina hasratnya untuk kebulan kerana bulan itu cantik seperti Zurina. Mawi nampaknya sangat smooth dalam menawan hati Zurina. Ila sekali lagi cemburu tetapi tidak langsung dilayan Mawi. Bulat dan Ketot lambat ke lokasi tersebut kerana Bulat rupanya sakit perut dalam perjalanan. 



Esoknya setelah habis sesi persekolahan, Ila ternampak Mawi memberi Zurina walkman nya untuk dipinjam. Ila menegurnya tetapi Mawi hendak keluar dengan Zurina dan terus menghalau Ila. Ila sedih dan cemburu. 







Kemudian, Ila juga kerumah Mawi tetapi Mawi tetap hilang kerana keluar dengan Zurina. Walaupun adegan Mawi keluar bercinta dengan Zurina adalah adegan sedih, latarbelakang kampung yang mereka tinggal amat indah permai. Sungguh cantik adegan ini disunting. 



Ila mencari Mawi serata kampung tetapi sungguh susah untuk dijumpai. Setelah beberapa ketika, budak berempat itu dilihat bermain ting ting dengan Zurina, Ila datang dengan baju perempuan dan bersolek. Budak berempat itu mengetawakan Ila, kata mereka Ila menakutkan dan memalukan. Tak silap aku, masa mula-mula tengok dulu nak menitik air mata aku tengok adegan ni, tak patut betul budak-budak ni. 



Ila terus menangis kerana dihina dan dihalau budak-budak itu. Di rumah, Ila dipujuk oleh Mak Cik Gayah. Rupanya Ila akan dihantar ke Kuala Lumpur untuk duduk dengan Maklongnya sebelum mendaftar di MRSM tahun depan. 





Ila mencuba pelbagai cara untuk memberitahu kawan-kawannya bahawa dia akan berpindah. Tetapi mereka terus mengejeknya dan tidak mempedulikannya. Ketika mengejar mereka dengan basikal, Ila terjatuh dan lagi sekali diketawakan. Kenapa kau nak kawan lagi dengan orang macam ni Ila? Aduhai. 



Zurina datang ke lokasi kejadian dan nak pastikan bahawa mereka akan hadir untuk membina buaian untuknya di rumahnya. Zurina cuba mengajak Ila untuk ikut sekali kepada Mawi. Malangnya, mereka membalas Ila tidak main permainan seperti budak perempuan lain. 




Di rumah Zurina mereka membina buaian untuknya. Terbit rasa bersalah di hati Mawi dan dia ingin kerumah Ila. 



Mawi ternampak Ila yang cedera jatuh basikal terus dibelasah Makcik Gayah. Aku sungguh marah tengok Ila yang sekejap sebentar dibelasah ibu bapanya ni sebenarnya. Ni tahap mendera dah ni. 



Mawi terus rasa bersalah dan teringat sewaktu mereka bermain rumah-rumah bersama Zurina dan menghalau Ila daripada turut bermain sekali walaupun telah diajak Zurina. 

“Pedulikanlah dia, jom main,” kata Mawi. 



Esoknya Mawi mencari Ila di sungai dan di rumahnya namun tidak ditemui. Selain itu, Bulat juga rupanya bercadang untuk berkahwin dengan Ila jika tidak berjaya mendapatkan Zurina. Haha mimpi jelah Bulat. 





Rupanya Ila ke pekan, walaubagaimanapun Makcik Gayah tidak sempat memberitahu Mawi bahawa Ila akan berpindah ke Kuala Lumpur. Sewaktu mak dan ayah Mawi berborak malam itu, Mawi terdengar mengenai Ila yang akan berpindah ke KL.





Mawi terus nak kerumah Ila tetapi dah larut malam. Esoknya pula Ila telah bertolak dan tidak sempat bertemu Mawi. Mawi mengejar Ila menggunakan basikalnya namun tidak berjaya. Aku sedih juga tengok adegan ni tapi lebih kepada rasa padan muka Mawi. Haha. 



Terus ke adegan masa hadapan. Ila telah sampai ke majlis kenduri kahwin tersebut. 





Kembali pula ke adegan di masa lalu. Rupanya Ila sempat berjumpa Zurina sebelum bertolak ke KL. Zurina menghadiahkan gambar Mawi, Budi, Bulat dan Ketot kepadanya. Gambar inilah yang Ila tengok di dalam teksi itu. 





Terus ke adegan masa hadapan. Zurina terus berkahwin dengan jejaka pilihan setelah keluar maktab. Bulat rupanya yang berjaya menawan hati Zurina. Bulat sekarang dah kurus dan menjual ubat kurus. Budi pula telah menjadi seorang doktor walau masih semput. Ketot pula dah jadi tinggi dan sekarang merupakan ahli politik. Mawi pula merupakan angkasawan pertama negara yang kita dengar di awal filem. 





Dulu aku sangat berharap ada sambungan filem ini kerana sangat berjaya menyentuh perasaan aku. Bagi aku, walaupun dah bertahun berlalu cerita ni masih lagi relevan, mengimbau zaman remaja aku. Tahniah Ahmad Idham dan David Teo untuk filem ini. :)


Share:

Popular Posts

Contact Us

Nama

E-mel *

Mesej *