Tiara dan Rina yang baru lepas berhenti kerja dalam perjalanan pulang kerumah apabila ditegur Danny yang mahu berbincang sesuatu. Tiara berasa was-was dengan Danny dan tidak percaya akan orang yang tidak dikenali. Apabila Danny hendak bersalam juga Tiara tidak menyambut salam Danny kerana dia menjaga ikhtilat. Manakala Rina pula teruja ditegur Danny dan terus memperkenalkan dirinya dan Tiara kepada Danny.
Danny memberitahu Tiara dan Rina bahawa ketika dia di restoran itu, dia ternampak Tiara dan Rina yang berhenti kerja dan mereka diajak untuk berbincang di sebuah kafe. Manakala pengurus kekwat restoran mereka sedang menghadapi masalah kerana tidak mempunyai pekerja yang cukup untuk meneruskan perniagaan hari itu.
“Abang Danny, eh Encik Danny…,” kata Rina. Danny membalas mereka boleh memanggilnya sebagai abang Danny kerana dia lebih berumur daripada mereka berdua. Walaupun sedikit gementar, Danny menerangkan tujuannya untuk meminta Tiara dan Rina menjaga Iqy. Danny juga menerangkan bahawa Iqy yang berusia 3 bulan itu bukanlah anaknya. Tiara bertanya jika Iqy bukan anak Danny, jadi anak siapa pula?
Danny membalas Iqy adalah anak kawannya dan dia perlu mencari pengasuh untuk Iqy. Ayah kepada Iqy sedang belayar di luar negara manakala ibu Iqy pula terlantar sakit di hospital, Ibu dan ayah Iqy juga adalah anak yatim piatu maka tiada siapa untuk menjaga Iqy selain Danny.
Danny terus menyatakan hasratnya untuk mengambil Tiara dan Rina menjadi pengasuh Iqy. Tiara dan Rina membalas bahawa mereka memang sedang mencari pekerjaan, walaubagaimanapun mereka tiada pengalaman dalam menjadi pengasuh bayi.
Nadine pula masih memikirkan siapakah bayi yang dihantar pada majlis perkahwinannya. Dia juga masih bersedih kerana majlisnya yang terhenti di tengah jalan. Ramai orang menghantar mesej kepadanya untuk bertanya mengenai majlisnya itu, Nadine terus membaling telefon bimbitnya kerana berasa sangat bengang.
Danny juga menerangkan bahawa dia akan menyerahkan kembali Iqy kepada ibu bapanya setelah mereka pulang dan sihat. Danny berharap Tiara dan Rina akan menjaga Iqy buat sementara waktu ini sahaja. Danny perlu mencari ikhtiar lain jika Tiara dan Rina menolak atau telah mendapat kerja tetap.
“Kenapa tak hantar ke nursery?” Kata Tiara. Danny membalas bahawa kerjanya tidak tentu masa. Rina pula bertanya, adakah mereka perlu tinggal bersama Danny untuk menjaga Iqy?
Datuk mempersoalkan sama ada betulkah bayi itu merupakan anak Danny, dan mengapa dia dihantar sewaktu Danny hampir bernikah. Datuk juga dihubungi oleh ramai rakan-rakan Datuk dan Tan Sri nya yang bertanya mengenai majlis yang tidak jadi dilansungkan itu. Datuk membalas bahawa majlis itu akan ditangguhkan dan meminta maaf kepada semua.
Tiara dan Rina pula berkata mereka tidak sesuai untuk tinggal bersama Danny. Danny membalas bahawa Iqy boleh tinggal di rumah Tiara dan Rina. Tiara dan Rina masih was-was tetapi setelah mendengar gaji yang akan diberikan Danny, selain semua kos yang bakal ditanggung mereka bersetuju. Ketika bekerja di restoran, mereka hanya mendapat RM750 sebulan, Danny pula menawarkan RM1500 seorang kepada mereka selain kad kredit dengan limit RM5000 untuk barang barang Iqy.
Datin bertanya kemana Datuk hendak pergi dan meninggalkan dia keseorangan di rumah. Datuk membalas dia mahu keluar, tidak mahu berserabut otak di dalam rumah. Datin pula memberitahu mengenai ramainya orang yang meminta hutang majlis daripadanya dan dia sangat pening dengan situasi itu. Datuk dengan senang membalas supaya Datin bayar sahaja semuanya supaya tidak menjadi viral.
Rina berasa Iqy sangat bermakna kepada Danny kerana dia sanggup mengeluarkan banyak duit untuknya.
“Kalau baby sakit macam mana?” Tanya Tiara. Danny membalas bahawa jika ada kecemasan mereka boleh menghubunginya. Danny menambah bahawa Tiara dan Rina perlu menjaga Iqy sehingga ibu dan ayahnya pulang/sihat manakala Danny akan menjenguk Iqy.
Tiara dan Rina terus bersetuju dan gembira. Danny pula berasa sangat bersyukur dan akan menghantar Iqy ke rumah mereka pada malam itu.
Kasyah dan Danny datang kerumah Tiara dan Rina pada malam itu untuk menghantar Iqy. Kasyah seperti biasa melontarkan kata kata semanis tebunya kepada Tiara dan Rina. Tiara biasa sahaja, Rina pula nampak serasi dengan Kasyah.
Tiara sungguh teruja dapat menjaga baby Iqy. Esoknya, setelah Tiara mandikan Iqy, Rina pulang daripada pasar. Ketika Rina hendak mencuit Iqy, Tiara sangat melindungi Iqy, Tiara tidak bagi Rina memegang Iqy kerana Rina kotor setelah memegang ayam dan ikan di pasar.
Rina berkata Iqy sangat comel dan tidak banyak ragam. Rina memberitahu hasratnya untuk mendapatkan anak juga tetapi masih belum berjumpa jodoh. Jadi Rina hendak memfokuskan diri dengan kerjayanya dahulu dan akan mencari jodohnya yang tall, dark dan handsome suatu hari nanti.
Danny yang berada di pejabat memikirkan siapakah yang telah menghantar Iqy kepadanya. Setelah dua minggu Iqy dihantar namun tiada sesiapa yang menghubunginya. Danny berfikir mengenai siapa yang ingin pedajal dia, antaranya bekas kekasih-kekasihnya dahulu seperti Hani, Ina, Alisya, dan Ain. Wah ramainya bekas teman wanita Danny, haha.
Rina dan Tiara menjaga Iqy di rumah mereka. Rina berkata dia tidak mahu terperap sahaja di rumah namun tiada sesiapa yang menghubunginya walaupun telah banyak resume dihantar. Jadi Rina mengajak Tiara memulakan online business tetapi mereka tidak tahu untuk menjual apa dan tiada modal. Maka mereka bercadang untuk mula berbisnes setelah mendapat gaji pertama.
Seterusnya Rina pergi memasak dan Tiara menjaga Iqy dengan penuh rasa kasih dan sayang, Tiara juga berselawat untuk Iqy.
Danny dan Kasyah pula berjumpa dengan bekas-bekas teman wanita Danny untuk menyiasat siapakah ibu Iqy. Bekas teman wanitanya Ain menafikan bahawa Iqy adalah anaknya, begitu juga dengan Lisa. Lisa juga bertanya mengenai majlis Danny yang tidak jadi itu. Nampaknya, khabar mengenai majlis tak jadi dan anak luar nikah Danny telah tersebar.
Tiara yang menjaga Iqy yang telah masuk 3 bulan mempersoalkan status imunisasi Iqy dan menelefon Danny. Rina mengusik Tiara yang menelefon Danny.
Danny dan Kasyah berbincang mengenai bekas-bekas kekasih Danny yang mungkin adalah ibu Iqy. Danny memang hendak mencari ibu Iqy kerana dia tidak mahu Tiara menjaga Iqy selamanya. Danny juga hendak bertanya kepada ibu Iqy kenapa dia melakukan perbuatan ini sehingga memalukan keluarganya. Banyak orang telah tahu mengenai kisah majlisnya yang terbatal termasuklah staf-staf di pejabatnya.
Kasyah memberi semangat kepada Danny supaya tidak mengalah, Kasyah menambah Danny haruslah bersabar kerana mungkin Iqy akan membawa kebaikan dalam hidup Danny.
Kasyah bertanya mengenai surat beranak Iqy untuk tahu mengenai perihal ibu Iqy. Danny mengatakan dia sudah mencari ibunya di alamat yang tertulis namun hampa, jadi selepas ini dia ingin ke hospital pula.
Danny menemani Tiara untuk membawa Iqy ke klinik untuk imunisasi dan pemeriksaan. Manakala Rina pula pergi temuduga kerja jadi tidak dapat turut serta. Tiara risau Rina akan gelabah. Danny pula tak sangka Rina yang bermuka ganas itu akan menggelabah.
“Muka dia je ganas, tapi dia tu gelabah nak mati. Setiap kali nak pergi interview, bercakap depan orang, dia akan berpeluh satu badan,” kata Tiara.
“Hahaha orang kata apa…”
“Ketibas la,” Tiara senyum.
“Abang suka tengok Tiara senyum, ada dimple.” Puji Danny.
“Takde pun.” Balas Tiara masih lagi tersenyum.
Nadine pula hendak keluar ke butiknya. Namun ada seorang wartawan cuba menghubunginya. Wartawan itu hendak bertanyakan sebab majlis perkahwinan dibatalkan sedangkan majlis itu telah viral mengenai seorang model selebriti muslimah yang akan berkahwin dengan pewaris hotel ternama di Kuala Lumpur. Wartawan itu bertanya, adakah majlis itu dibatalkan kerana anak luar nikah Danny?
Nadine terus mengamuk dan memaki wartawan itu supaya tidak menjaga hal peribadinya. Setelah meletakkan panggilan, Nadine terus menjerit dengan amarah.
Ketika berada di klinik, doktor yang merawat Iqy mengatakan bahawa Tiara dan Danny nampak sangat serasa sebagai ibu bapa Iqy, doktor tersebut suka melihat mereka. Danny cuma membalas dengan terima kasih dan menerima pujian doktor tersebut. Pelanggan lain di klinik itu juga menegur mereka dan mengatakan Iqy sangat comel dan mukanya sama seperti Tiara dan Danny. Setelah dia diberitahu Iqy hanya minum formula susu botol, mereka dinasihati pelanggan itu untuk memberikan susu badan. Danny dan Tiara cuma senyum dan beredar daripada situ.
Nadine telah sampai ke butiknya, dia mengamuk dan merempas. Semua staf butik ketakutan dengan Nadine kerana angin Nadine tidak baik hari itu dan dia tidak mahu melayan stafnya, walaupun mengenai hal kerja.
Danny pula tidak tahu hendak buat apa lagi, otaknya telah jam. Kasyah pula membalas, masa buat tak nak fikir, sekarang baru nak jam otak. Danny berkata bahawa mungkin apa yang terjadi adalah kifarah terhadap dosanya yang lalu.
Setelah itu dia hendak ke hospital dan mengajak Kasyah, kata Danny ini adalah soal maruah dan harga dirinya. Kasyah menyangka Danny hendak membuat ujian kesuburan. Danny membalas bahawa dia sebenarnya hendak memandulkan Kasyah. Kasyah sedih dan menjawab, “siapa yang nak doakan aku kalau dimandulkan?”
Tiara bersiap dengan cantik hari itu untuk keluar dengan Danny untuk menonton wayang. Rina tidak mahu ikut kerana hendak menjaga Iqy di rumah dan menonton drama Korea.
Ketika hendak membeli tiket, Danny melawak dengan Tiara.
“Eh Tiara ada nampak tak? Alamak dah hilang dah, Tiara ada ambik tak?”
“Nampak apa?” Balas Tiara.
“Hati abang, Tiara dah ambik,” sambut Danny.
“Abang niiiiiiii…” sahut Tiara geram.
“Abang pun nak juga pickupline BBNU sekarang,” balas Danny puas hati.
Pali yang sedang keluar bersama seorang wanita rupanya sedang memerhatikan mereka daripada belakang tiang.
Kasyah dan Danny ke hospital untuk mencari maklumat ibu Iqy. Kasyah berkata mereka perlu berhati-hati kerana Kasyah tiada kabel jika mereka ditangkap polis. Mereka bertanya kepada seorang jururawat, jururawat itu menjawab Puan Fatimah yang mereka cari sekarang berada di ICU. Jururawat itu membawa Danny dan Kasyah ke bilik Puan Fatimah, ibu Iqy itu. Fatimah sedang koma di ICU.
Tamat episod 3. Plot cerita yang menarik, aku sangat tertarik untuk tahu siapakah Fatimah ibu Iqy yang sedang terlantar koma ini? Aku juga suka melihat Iqy yang comel dan persahabatan Kasyah dan Danny serta Tiara dan Rina.



