Pujaan Hati Kanda - Episod 2
Tetamu lelaki yang membawa masuk bayi itu ke dalam masjid memberitahu dalam surat itu ditulis supaya menyerahkan bayi berkenaan kepada Danish (Danny). Datuk dan Datin pula gusar dan malu dengan keadaan itu, mereka bertanya kepada Danny mengenai siapakah identiti budak itu. Danny menafikan semahunya bahawa dia memang tidak tahu apa-apa mengenai bayi itu.
Danny juga mahu merahsiakan perihal bayi itu kepada semua tetamu dan pihak pengantin perempuan, dan menyelesaikan masalah itu di belakang tabir sahaja. Nadine dan semua tetamu tertanya-tanya mengenai insiden ini.
Datuk dan Datin akhirnya cuma menyalahkan Danny dalam hal ini dan menganggap bayi itu merupakan anak Danny. Danny meminta maaf kepada Datuk dan Datin, tetapi Danny juga menyangkal tuduhan ini dan mengatakan ada seseorang yang ingin memerangkapnya.
Balas Datin, “Danny ada harta ke? Tak ada kan. Dia mahu Danny jaga budak tu baik-baik.”
Wakil Tok Kadi datang bertemu Datuk, Datin dan Danny untuk memberitahu bahawa jadual Tok Kadi padat pada hari itu, jadi pernikahan perlu ditangguhkan. Jadi Datuk terus memberitahu pihak pengantin perempuan dan menunggu jawapan daripada pihak mereka mengenai patutkah majlis diteruskan.
Nadine menganggap bayi itu adalah anak luar nikah Danny dan mahu membatalkan pernikahan mereka. Nadine terus lari dan dikejar Danny yang menafikan semahunya bahawa dia bukanlah bapa kepada bayi itu. Walaubagaimanapun Nadine masih mahu membatalkan majlis dan berkata bahawa dia tidak mahu melihat muka Danny lagi selepas ini.
“Ini bukan salah I, ini salah faham,” kata Danny.
Bayi yang berada di dalam masjid terus menangis, sementara itu nasib baik seorang tetamu sudi mendodoikan dan memberi susu kepada bayi itu.
Nadine pula berkata, jika satu masa nanti Danny mendapat jawapan kepada persoalan bayi itu, Danny boleh mencari Nadine semula. Dan jika Nadine masih ada hati terhadap Danny, mereka bolehlah meneruskan hubungan mereka. Tetapi majlis nikah mereka pada hari itu akan tetap terbatal kerana insiden ini.
Tiara dan Rina pula kesempitan wang dan masih geram terhadap penyewa dahulu yang lari dan meninggalkan mereka dengan bil yang tidak mampu mereka bayar, terutama sekali Tiara yang tidak dapat memberi duit lebih kepada ibunya di kampung pada bulan itu. Mereka juga masih belum menjumpai penyewa baru untuk menggantikan penyewa yang lari.
Danny pula pulang ke rumah bersama bayi itu dan Kasyah. Dia merasa sedih kerana hal ini terjadi kepadanya. Manakala Datuk dan Datin pula tidak mahu mengambil tahu hal ini dan menyuruh Danny menyelesaikan perkara ini sendiri. Sedangkan Danny tidak tahu siapa ibu kepada bayi itu jadi dia berasa berat hati untuk menjaga bayi itu.
Nadine pula bersedih dan meratap keadaan itu pabila pulang ke rumahnya.
Di dalam raga itu terdapat surat beranak bayi itu, dan nama ibu kepada bayi itu adalah Fatimah. Danny tidak tahu dan tiada pengalaman menjaga bayi dan mahu menghantar bayi itu ke balai polis namun ditegah Kasyah untuk menjaga reputasi dan nama baik keluarganya.
Bayi itu masih menangis dan Danny serta Kasyah panik kerana mereka tidak tahu menjaga bayi. Kasyah mencadangkan mereka mencari babysitter untuk tinggal sekali dengan bayi itu, tidak hanya dihantar ke pusat asuhan kerana pusat asuhan hanya beroperasi seperti waktu pejabat.
Manakala Datuk Dan Datin pula tersangatlah malu dengan Danny. Mereka berasa pelik ini boleh terjadi dan menyalahkan satu sama lain. Mereka tidak menyangka Danny masih belum berubah daripada perangai playboynya yang dahulu.
Kasyah mencadangkan supaya mereka mengiklankan pencarian babysitter di internet dengan gaji lumayan supaya Danny boleh fokus untuk menyelesaikan dan mencari siapa dalang yang hendak pedajal hidupnya. Danny juga menyatakan bahawa dia masih sayang terhadap Nadine.
Kasyah pula sudah lapar dan menyuruh Danny belanja dia makan manakala Danny pula mahu keluar membeli barang bayi. Hee persahabatan Kasyah dan Danny sangat comel, inilah nama dia bromance walaupun dua dua perangai playboy. Mereka berdua nampak comel dan seperti pak pandir dalam keadaan ini. Kasyah juga cakap Danny nampak seperti bapa misali dengan caranya menjaga bayi tersebut.
Dalam surat beranak bayi itu terdapat nama bayi itu iaitu Noah Rizqy Arif, mereka memanggilnya sebagai Iqy. Mereka bersama-sama mahu mencari penjaga Iqy. Kasyah dan Danny juga bertengkar gurau dalam mencari cara yang betul untuk menjaga Iqy, yang pada aku sangatlah comel kerenah dua orang ini. Contohnya, mereka bertengkar untuk cara mengetahui sama ada Iqy berak, Kasyah menjawab mereka cuma perlu menyelak pampersnya. Sungguh kelakar adegan bromance Kasyah dan Danny.
Mereka makan di restoran Tiara bekerja. Tiara nampaknya seperti sukakan bayi dan boleh menjaga bayi. Setelah mengetahui Danny datang ke restoran itu dengan bayi, Rina berkata melepaslah dia, kerana Danny yang kacak telah berkahwin. Tiara mahu membantu Danny dan Kasyah membuat susu bayi, malangnya lagi sekali dimaki pengurusnya yang kekwat itu. Pengurus restoran yang kekwat itu berkata restoran itu bukannya pusat kebajikan masyarakat.
Setelah selesai membancuh susu, Tiara memberi susu itu kepada mereka. Mereka sempat berkenalan dengan Tiara. Mereka terus bertanya nama Tiara manakala Kasyah pula meminta Tiara membuang sampah mereka.
Malam itu Tiara balik kepenatan dengan kawannya Rina. Seorang lelaki (Pali) datang dan cuba hendak mengacau Tiara. Nampaknya dia adalah peminat ataupun pengendap Tiara. Pali hendak mengajak Tiara keluar makan namun Tiara tidak selesa seterusnya Pali dimarahi Rina. Pali menjawab bahawa abang Tiara yang telah memberinya lesen untuk menjaga Tiara di Kuala Lumpur. Rina dan Pali bertekak sebelum menghalau Pali, dan mereka lari masuk ke rumah.
Di rumah Danny pula, Kasyah dan Danny nampak kelakar dan terpinga-pinga dalam menjaga Iqy. Danny tidur dengan Iqy dan terjaga di tengah malam untuk memberi Iqy minum susu. Walaupun tidak cekap, Danny bangun dan membuat susu Iqy. Danny membancuh susu, memberikan susu dan mendodoikannya.
Esoknya Danny menghantar Iqy ke Pusat Asuhan tetapi dia terlupa untuk membawa barang-barang bayi sekali. Kasyah pula menghubungi Danny kerana Danny telah lambat sampai di pejabat dan dicari Datuk. Danny memberitahu dia tidak cukup tidur dan tertinggal barang Iqy untuk pengasuh yang menyebabkan dia terlambat.
Nadine pula termenung mengenangkan pernikahannya dengan Danny yang musnah. Mama mengatakan Nadine tidak berfikir panjang dan terburu-buru untuk membatalkan pernikahan sedangkan dia sudah banyak kali gagal untuk bernikah sebelum itu. Mama berkata dia sukakan Danny yang kaya, kacak dan baik itu. Wah mama, nampaknya berkahwin itu lagi penting daripada kebahagiaan anak itu ya?
Danny sampai sangat lewat di pejabat hari itu, mesyuarat sudahpun selesai. Datuk memanggil Danny dan memarahi Danny mengenai sikap, disiplin dan attitude Danny terhadap kerjanya sebagai pewaris Arjuna Hotel. Datuk menambah Danny nampak sangat tidak terurus.
Datuk juga bertanya mengenai bayi itu dan mahu Danny menyelesaikan hal itu secepat mungkin. Hal bayi juga tidak patut bercampur dengan hal kerja pejabat, amaran Datuk kepada Danny.
Danny menjemput Iqy petang itu namun badan Iqy panas. Iqy meragam lagi hari itu walaupun sudah masuk hari kedua. Pengasuhnya berkata Iqy mungkin tidak sesuai dengan pusat asuhan itu. Pengasuh itu juga berkata Iqy patut dikuarantin di rumah jika masih demam esok harinya supaya tidak menjangkiti bayi lain.
Danny membawa Iqy ke klinik. Kasyah berkata hal bayi demam biasa sahaja kerana bayi itu mungkin hendak tumbuh gigi. Danny berkata, Kasyah perlu menjaga Iqy esoknya kerana dia perlu bekerja, namun Kasyah membalas dia juga perlu bekerja. Kasyah akhirnya mahu meminta tolong orang lain untuk menjaga Iqy.
Danny nampak penyayang dalam menjaga Iqy yang sedang demam. Danny seterusnya pergi minum di restoran Tiara bekerja. Rina ternampak Danny dan mengatakan Danny mungkin ada masalah dengan teman wanitanya, oleh itu dia nampak tidak terurus. Pengurus ternampak mereka dan mereka dimaki oleh pengurus itu lagi sekali. Malangnya kali ini seorang pelanggan yang kurang ajar juga turut memarahi Tiara atas servis yang diberikan. Pengurus kekwat itu masuk campur dan terus memarahi dan menghina Tiara kerana katanya tidak pandai menjaga pelanggan restoran.
“Kak Sal jangan hina saya, saya memang budak kampung tapi saya ada maruah.”
“Kerja yang mudah pun kau tak boleh buat, mak bapak kau tak ajar ke?!”
“Bapa saya dah lama meninggal.” Balas Tiara sedih.
Rina ternampak Tiara dihina sebegitu rupa dan terus mengamuk dan mengajak Tiara berhenti kerja. Danny pula memerhatikan mereka dan terfikir sesuatu. Tamatlah episod 2.
Episod 2 menarik. Muzik latar juga bagus, begitu juga latar video yang cantik. Pada aku jalan cerita ini agak menarik, tidak adalah cliche sangat dan tidak menjengkelkan seperti sesetengah drama pukul 7 yang lepas lepas. Manakala aku juga suka akan persahabatan Kasyah dan Danny yang kelakar dan comel, juga Rina yang sering mempertahankan dan membantu Tiara ketika diperlukan. Walaupun kita masih belum dapat melihat bagaimana hubungan Danny dan Tiara, Danny nampak seperti selalu memerhatikan Tiara dalam diam walaupun pandangannya tidak menunjukkan sebarang perasaan.